19 May
19May

CONTOH KARANGAN PENUH

   Pada era globalisasi, remaja sering dikaitkan dengan masalah disiplin. Perkara ini amat membimbangkan semua pihak. Masalah disiplin seperti buli, ponteng sekolah dan vendalisme semakin hangat diperkatakan oleh masyarakat dan juga terpampar di dada akhbar hampir setiap hari. Masalah disiplin dalam kalangan pelajar ini sudah semestinya akan memberi kesan negatif terhadap diri, keluarga dan sekolah mereka. Oleh itu, kita tidak boleh memandang enteng akan masalah ini. Terdapat beberapa punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

      Punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar disebabkan oleh kurangnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Hal ini demikian kerana, ibu bapa kini lebih mengutamakan kerjaya sehingga alpa terhadap tanggungjawab mereka terutamanya dalam mendidik anak-anakMereka terlalu tumpukan pekerjaan dan memikirkan masa yang ada dirumah itu hanyalah untuk berehat. Perkara tersebut amat jelas akan menyebabkan anak-anak mereka berasa terabai dan melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka. Anak-anak akan terdorong melakukan masalah disiplin kerana mereka beranggapan bahawa ibu bapa mereka tidak akan mengambil tahu tentang mereka dan mereka bebas melakukan pelbagai perkara. Ibu bapa seharusnya mengmbil berat terhadap anak-anak dan mendidik mereka dengan sebaiknya sejak dari kecil ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh, ibu bapa seharusnya mengambil berat terhadap anak-anak seperti meluangkan masa bersama agar anak-anak berasa disayangi oleh ibu bapa. Anak-anak juga boleh berkongsi pandangan dan cerita bersama ibu bapa. Oleh itu, kasih sayang terhadap anak-anak amat penting untuk membentuk peribadi yang baik anak-anak.

       Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, rakan mereka merupakan orang yang paling banyak mereka meluangkan masa bersama. Setiap tingkah laku rakan-rakan akan mempengaruhi tindakan mereka juga. Perkara ini akan berlaku jika rakan mereka juga mempunyai masalah disiplin. Sikap buruk yang ada pada rakan-rakan mereka secara tidak langsung akan berada dalam diri pelajar tersebut jika mereka tidak mahu menjauhinya. Pelajar bimbang jika mereka tidak berkawan dengan rakannya itu, mereka akan disisihkan. Perkara ini menyebabkan  mereka bertindak untuk melakukan masalah disiplin tanpa memikirkan kesan buruknya. Sebagai contoh, pelajar akan menyertai perbuatan rakan mereka seperti merokok, membuli, ponteng sekolah dan sebagainya. Oleh itu, pengaruh rakan sebaya sememangnya punca yang negatif kepada pelajar.

     Di samping itu, pengaruh media elektronik merupakan punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, media elektronik banyak mempengaruhi tingkah laku remaja. Filem-filem yang ditayangkan dalam kaca televisyen menayangkan unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Golongan pelajar yang kurang matang secara tidak langsung akan terpengaruh dengan segala perkara negatif yang ditayangkan dalam filem tersebut. Mereka merasakan apa yang ditayangkan itu merupakan sesuatu yang baru dan mereka mempunyai rasa ingin mencuba melakukannya. Misalnya, jika mereka melihat filem yang mempunyai kegiatan seperti membuli, mereka akan mempunyai idea untuk membuli orang lain tanpa memikirkan kesan sampingannya. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh media elektronik merupakan punca berlakunya masalah disiplin pelajar.

      Seterusnya, peraturan sekolah yang tidak ketat juga merupakan salah satu punca berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar tidak akan berasa takut  untuk melakukan kesalahan kerana bagi mereka tiada hukuman akan dikenakan. Pihak sekolah tidak peka dengan masalah disiplin pelajar dan tidak memberi hukuman serta merta kepada pelajar yang melakukan masalah disiplin. Sebagai contoh, terdapat juga pihak sekolah yang merahsiakan segala masalah disiplin yang berlaku kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Sikap sesetengah pihak sekolah inilah yang akan menjadikan pelajar-pelajar lebih terdorong untuk melakukan kesalahan disiplin tanpa rasa bersalah. Sikap acuh tak acuh yang diberikan oleh guru disiplin ini tidak akan menangani maslah disiplin dalam kalangan pelajar. Justeru, peraturan sekkolah yang tidak ketat ternyata merupakan punca terbesar masalah disiplin dalam kalangan pelajar berlaku.

     Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa masalah disiplin dalam kalangan pelajar kini semakin membimbangkan. Semua pihak hendaklah berganding bahu sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Langkah yang drastik dan efektif perlulah diambil supaya masalah disiplin ini dapat dikurangkan. Jika masalah ini dapat dibendung dengan lebih awal,  masalah disiplin tidak lagi menghantui masyarakat kita kerana akan merosakkan akhlak, akidah dan masa depan pelajar dan hasrat negara untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti.



Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING